≡ Menu


Apa Itu Pelaburan Hartanah

Belajar Pelaburan Hartanah

Apa Itu Pelaburan Hartanah?

Semua orang tahu dengan istilah melabur, iaitu mengeluarkan sebahagian sumber untuk tujuan tertentu bagi memberi sesuatu pulangan. Hartanah pula merupakan sebuah aset yang dinilaikan atau diperdagangkan sama ada dengan rumah mahupun tanah. Kedua-duanya mampu memberikan statistik angka yang menarik.

Industri pelaburan hartanah bukanlah suatu perkara yang baru sebenarnya. Ia mula dilihat berkembang seawal tahun 2000. Pada ketika itu, tidak ramai yang menyedari tentang potensi besar bidang pelaburan hartanah ini. Namun begitu, pemilikan tanah mahupun rumah pada ketika itu sudah dilihat meningkat dari semasa ke semasa. Boleh dikatakan orang yang hidup zaman pasca kemedekaan dilihat banyak memiliki hartanah. Itu sudah terbukti banyak harta pusaka nenek moyang kita yang pada hari ini berganda-ganda nilainya berbanding dahulu.

Menerajui bidang pelaburan hartanah pada hari ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Bukan sahaja nilai hartanah yang semakin mendadak, malah wujudnya banyak persaingan. Daripada syarikat mahupun ejen hartanah, masing-masing berusaha memastikan mereka mencapai jualan yang disasarkan.

Bidang hartanah bukan sahaja dipelopori oleh satu golongan sahaja, malah peluang ini sememangnya terbuka luas sama ada kita berada di tepi pantai, di tengah bandar, di kawasan kampung dan lain-lain lagi. Semuanya memberikan nilai tidak kira sama ada ia tinggi mahupun rendah.

Nilai hartanah yang susut tidak mustahil boleh meningkat tinggi malah berlaku juga sebaliknya. Penilaian nilai hartanah bergantung kepada keadaan persekitaran dari segi struktur kawasan, kemudahan awam, dan lain-lain lagi. Semakin banyak kemudahan yang terdapat di sesebuah kawasan, semakin tinggi nilainya. Kita bermain dengan banyak hipotesis.

Antara punca nilai hartanah merudum jatuh antaranya disebabkan sebagai contoh, kawasan berkenaan terdedah kepada bahaya tanah runtuh seperti yang terjadi di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Selain itu, faktor keselamatan awam yang terdedah kepada aktiviti jenayah juga turut diambil kira. Tentulah, siapa yang mahu tinggal di kawasan yang berisiko dengan nyawa kita. Tambah lagi, kegagalan pihak pemaju membuat penyelenggaran berkala menyebabkan para pemilik aset menanggung kerugian dari segi nilai.

Walaubagaimanapun, bagi menceburi bidang hartanah ini, seseorang itu memerlukan melaburkan wang dalam nilai angka yang agak besar. Hal ini berikutan, pelaburan jenis hartanah memerlukan kita bermain bukan setakat dengan enam angka sahaja, malah ia juga mencecah sehingga ketujuh angka. Angaka-angka ini menunjukkan simbol kekayaan yang membolehkan seseorang itu bergelar jutawan.

Namun demikian, bidang hartanah ini sentiasa terdedah kepada risiko bahaya. Antaranya jika seseorang itu gagal dalam menjelaskan ansuran bayaran kepada pihak bank secara berkala, alamatnya rumah yang dimilikinya bakal dilelong.

Secara kesimpulannya, pelaburan hartanah merupakan satu bentuk pelaburan yang memberikan pulangan modal secara maksima bergantung kepada usaha dan ilmu kita.