≡ Menu


Doa Iftitah Di Dalam Solat

Kita sedia maklum bahawa solat merupakan tiang agama dan terdiri daripada 13 rukun dalam Mazhab Syafie. Di samping itu, ia juga disertai dengan perkara-perkara sunat yang merangkumi perbuatan dan perkataan. 

Takrif bagi sunat ialah – perbuatan yang dituntut kepada manusia melaksanakannya bukan secara wajib, dengan diberi pahala kepada si pembuat dan tidak akan disiksa kepada yang meninggalkannya.

            Perkara sunat di dalam solat pula terbahagi kepada 3 iaitu :

  • Perkara sunat yang dilakukan sebelum solat.
  • Perkara sunat yang dilakukan semasa solat.
  • Perkara sunat yang dilakukan selepas solat.

            Secara ringkasnya doa iftitah merupakan salah satu perkara sunat yang dilakukan semasa solat dan termasuk dalam kategori sunat haiat (سنة هيئات) iaitu perkara sunat yang tidak akan menyebabkan sujud sahwi apabila ditinggalkan. Berbeza dengan sunat ab’adh (سنة أبعاض) iaitu perkara sunat yang akan menyebabkan sujud sahwi apabila ditinggalkan.

Pensyariatan Doa Iftitah Di Dalam Solat

            Antara hadis Nabi S.A.W. yang menyatakan tentang perkara ini ialah :Diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Saidina Ali k.a.w. daripada Rasulullah S.A.W. apabila berdiri untuk solat akan membaca :

وجهت) وجهي للذي فطر السماوات والأرض حنبفا مسلما وما أنا من المشركين, إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين, لا شريك له وبذلك أمرت وأنا من المسلمين

Aku berniatkan ibadahku kepada Yang menjadikan langit dan bumi, sebagai seorang Hanif (yang berada atas jalan lurus) dan Muslim dan bukanlah aku tergolong dari kalangan orang musyrikin. Sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku, dan kematianku hanyalah kepada Allah Tuhan sekalian alam. Tiadalah sekutu bagiNya dan dengan itulah (mentauhidkan Allah) aku diperintahkan dan aku tergolong dari kalangan orang Islam.

Tempat Bacaan Doa Iftitah & Beberapa Permasalahan Yang Berkaitan

            Disunatkan membaca doa iftitah di dalam solat fardhu dan sunat selepas takbiratul ihram kepada imam, makmum atau yang solat bersendirian dengan syarat tidak didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Jika dia membaca Surah Al-Fatihah atau isti’azah terlebih dahulu, maka ketika itu gugurlah sunat bacaan doa iftitah dan tidak perlu untuk diulang kembali walaupun dia terlupa, dan tidak akan membatalkan solatnya jika dia membaca doa iftitah ini selepas isti’azah / Surah Al-Fatihah.

            Tidak disunatkan membaca doa iftitah di dalam solat jenazah, dan solat fardhu yang dilaksanakan dalam tempoh waktu yang berbaki itu sedikit kerana ditakuti jika ia dibaca akan menyebabkan waktu tersebut habis.

Manakala jika bacaan doa iftitah ini ditinggalkan pada rakaat pertama secara sengaja atau tidak maka tidak perlu membacanya pada tempat / rakaat yang lain, kerana bacannya pada selain pada rakaat pertama akan menjadikan hukum pada ketika itu makruh tetapi tidak membatalkan solat.

          Seorang makmum yang masbuk tidak perlu membaca doa iftitah jika ditakuti dengan bacaannya itu akan menyebabkan Surah Al-Fatihah tidak sempat dibaca kerana ia adalah wajib berbanding doa iftitah yang sunat. Tetapi jika bacaan doa iftitah ini tidak mengganggu masa bacaan Surah Al-Fatihah maka tiada masalah untuk dia membacanya.

                 Sekiranya makmum itu mendapatkan imam pada bukan selain berdiri seperti ketika ruku’, sujud dan sebagainya maka dia tidak perlu mendatangkan bacaan doa iftitah walaupun setelah berdiri daripada sujud yang kedua bersama imam.

Wallahu a’lam.

Rujukan :

  1. Al-Azkar An-Nawawiah karangan Imam Muhyiddin Abi Zakaria Yahya bin Syaraf An-Nawawi, cetakan pertama 2004/1425 H, Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah.
  1. Al-Feqh Al-Manhaji ‘ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugho, dan Ali As-Syarbaji, cetakan kelapan tahun 2007/1428 H, Dar Al-Qalam, Damsyik.


Disediakan oleh,
Mohd Khusnaini Mongin,

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment