≡ Menu


Masalah Hutang – Jangan Ambil Mudah Soal Melunaskan Hutang!

1. Kita hari ini hidup di zaman yang sukar bagi kita melepaskan diri dari meminjam atau berhutang, baik untuk tujuan pendidikan, perniagaan atau keperluan hidup.

2. Semata meminjam atau berhutang (selagi berasaskan prinsip Islamik) bukan suatu yang negatif dan tidak menjadi kesalahan sekiranya ia dilakukan demi membawa elemen positif dalam urusan dan kehidupan.
Hutang menjadi negatif apabila ia menjadi tabiat dalam melayan kehendak hidup di luar kemampuan.
Justeru Nabi SAW ketika berdoa memohon perlindungan, baginda menyebut “غَلَبَة الدَّيْن” iaitu kalimah “ghalabah” di situ bermaksud bebanan hutang yang sukar atau tidak mampu dilunaskan.

3. Ramai dari kalangan masyarakat kita yang masih mengambil mudah soal melunaskan hutang seakan lupa akan sabda Nabi SAW:
نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ مَا كَانَ عَلَيْهِ دَيْنٌ
“Jiwa seorang mukmin itu terkandas selagi masih mempunyai hutang (yang belum dilunaskan)” [riwayat Ahmad].
Bahkan pejuang yang mati syahid juga walau seluruh dosanya diampunkan, tetap tidak akan terlepas atau tidak diampunkan hutangnya yang masih tidak terlunas [riwayat Muslim].

4. Mengapa begitu besar ancaman Allah terhadap penghutang yang tidak melunaskan hutangnya?

Pertama:
Kerana ia merupakan hak orang lain yang kita ambil, sekiranya tidak dipulangkan maka kita telah memakan hartanya secara batil sedangkan Allah telah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡڪُلُوٓاْ أَمۡوَٲلَكُم بَيۡنَڪُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian makan harta sesame kalian secara salah!” [al-Nisa: 29].

Kedua:
Kerana orang yang terbeban dengan hutang akan mula berdusta dan memungkiri janji demi mendapatkan wang atau mengelakkan diri dari membayar, sebagaimana dalam hadis ‘Aisyah RA, bahawa beliau melihat Nabi SAW banyak berdoa pada Allah memohon perlindungan dari (terlilit dengan) hutang.
Lalu ‘Aisyah bertanya: “Kenapa aku lihat kamu banyak berdoa memohon perlindungan dari (terlilit dengan) hutang?”.
Jawab baginda: “Kerana orang yang berhutang itu apabila bercakap dia akan sering berdusta, dan apabila berjanji dia mudah memungkiri” [riwayat Abu Ya’la].

5. Antara ancaman buat mereka yang mengambil mudah soal melangsaikan hutang:

a) TERHALANG DARI MEMASUKI SYURGA.

Dalam sebuah hadis ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama para sahabatnya di masjid, lalu ada jenazah yang dibawa untuk disolatkan.
Tiba-tiba Rasulullah SAW mengangkat pandangannya melihat ke langit seketika, kemudian tunduk dan meletakkan tangannya di dahi seraya mengucapkan: “Subhanallah, subhanallah! Apa urusan berat yang telah menimpa!” sehingga membuat para sahabat terdiam tidak berani bertanya sehari semalam.
Pagi keesokannya, salah seorang sahabat bertanya baginda: “Wahai Rasulullah, apa urusan berat yang telah menimpa (yang kamu sebut-sebut semalam)?”.
Jawab baginda: “Tentang hutang”.
Lalu baginda menyambung lagi: “Demi jiwa Muhammad di tangan-Nya, seandainya seseorang itu mati (syahid) di jalan Allah, kemudian dihidupkan kembali, kemudian mati (syahid) di jalan Allah lagi, kemudian dihidupkan kembali, sedangkan dia masih dalam keadaan berhutang, dia tidak akan masuk syurga selagi tidak dilunaskan hutangnya!” [riwayat Ahmad].

b) NABI SAW TIDAK SOLATKAN JENAZAH PENGHUTANG.

Ketika salah seorang sahabat Nabi SAW meninggal dan telah disiapkan untuk disolatkan jenazahnya dengan diimamkan baginda, baginda bertanya: “Adakah dia mempunyai hutang?”.

Jawab para sahabat: “Ya, dia ada berhutang 2 dinar”.
Lalu baginda berundur dan menyuruh para sahabatnya sahaja yang menyolatkan jenazah tersebut.
Kemudian Abu Qatadah RA berkata: “Aku akan langsaikan hutangnya wahai Rasulullah”.
Maka baginda pun menyolatkan jenazah tersebut [riwayat al-Bukhari].

Kisah ini yang hanya berstatus hutang 2 dinar sudah cukup membuatkan Nabi SAW mengambilnya secara sangat serius!
Terdapat beberapa lagi kisah seumpama ini yang menunjukkan betapa baginda sangat menekankan soal melunaskan hutang.

6. Nasihat saya di akhir Ramadan ini:

💰 Jangan hanya mengejar untuk melunaskan hak Allah dalam keadaan hak manusia lain diabaikan.
Hak Allah masih dalam ruang lingkup rahmat-Nya yang Maha Luas, sedangkan hak manusia tidak akan terlunas selagi tidak dilangsaikan.

Jangan lupa rahmat manusia itu maha sempit, tidak mudah memaafkan dan tidak mudah membebaskan penghutang dari belenggu hutangnya!

💰 Jangan ambil mudah atau melengahkan urusan perlunasan hutang, kerana suatu yang sangat zalim seandainya perlengahan hutang tersebut memberi implikasi negatif terhadap pemiutang dan pihak lain yang memerlukan pinjaman tersebut.

Sabda Nabi SAW:
مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْم
“Penangguhan dengan sengaja oleh penghutang adalah suatu kezaliman!” [Riwayat al-Bukhari & Muslim].

💰 “Kosong-kosong” hari raya bukan bermakna “kosong-kosong” hutang!

-Dr. Kamilin Jamilin-

sumber

Comments

comments

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.